Menteri cadangkan MSS memberi gaji, elaun untuk peserta latihan

Abdul Karim (tengah) menerima gambar lukisan potretnya sebagai cenderahati dari Ketua Pegawai Eksekutif MSS, Sharkawi Amit (dua dari kiri) selepas merasmikan Hari Terbuka Majlis Seni Sarawak.

KUCHING, Mac 10: Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan mencadangkan supaya Majlis Seni Sarawak (MSS) memberikan gaji dan elaun kepada peminat dan pengiat seni yang mengikuti latihan dengan majlis terbabit.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata demikian dan sehubungan itu meminta majlis terbabit segera membuat rangka struktur gaji dan elaun kepada pelatihnya bagi diserahkan kepada kementerian itu dan seterusnya dibawa kepada kerajaan negeri.

“Ini supaya orang yang kita berikan latihan itu, mereka tidak akan merasa kecewa kerana setiap hari belajar dan menjalani latihan kesenian tetapi tidak ada diberi sebarang gaji atau elaun. Kita tidak mahu ini berlaku, kita mesti menjaga kalangan peminat dan pengiat seni ini,” katanya ketika merasmikan Hari Terbuka MSS di Dewan Undangan Negeri (DUN) lama di Petra Jaya, di sini, semalam.


Abdul Karim malahan juga mencadangkan MSS mengambil tenaga pengajar kesenian dari luar Sarawak sekiranya perlu dan membuat rangka struktur gaji dan elaun tenaga bagi tenaga pengajar tersebut supaya mereka boleh menyertai usaha mengembangkan lagi bidang kebudayaan dan kesenian negeri ini di kalangan penduduk tempatan dan meminta MSS tidak terus menjadikan kekangan kewangan sebagai alasan sukar berbuat demikian.

“Kalau ada masalah, kita duduk sama, nanti saya membawanya kepada pihak atasan, termasuk kalau MSS memerlukan peruntukan kewangan. Ini kerana setiap kali mesyuarat kabinet negeri, belum pernah permohonan terbabit yang ditolak dan selalunya diluluskan kerana kabinet melihat pentingnya perkembangan pelancongan, kebudayaan dan kesenian negeri ini berjalan selari,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri malahan sebelum ini serta merta bersetuju menyerahkan bangunan DUN lama di Petra Jaya kepada MSS bagi digunakannya mengadakan latihan kesenian kepada peminat seni tempatan selepas beliau mendedahkan tentang keadaan premis digunakan majlis itu sebelum ini di Taman Budaya yang sudah bocor atapnya.

Abdul Karim sehubungan itu mengingatkan MSS supaya mengunakan bangunan DUN lama
yang diserahkan kepada mereka untuk bukan sahaja mengadakan latihan dalam bidang seni tarian dan teater sahaja tetapi juga merangkumi seni lain termasuklah penulisan supaya tiada pengiat seni di negeri ini yang merasakan mereka telah dianak tirikan majlis itu.

Disamping itu, beliau juga tidak mahu melihat ada sebarang kaum etnik di negeri ini yang tertinggal dalam usaha MSS memperkasakan kebudayaan dan kesenian penduduk Sarawak dan mahu majlis terbabit berusaha mencari pemimpin kebudayaan dan kesenian semua etnik tempatan bagi diserap masuk ke dalam majlis itu.

“Saya tidak mahu ada kaum etnik Sarawak yang tertinggal; kita telah mencapai keharmonian yang begitu baik sekali di negeri ini antara pelbagai etnik, jadi setiap kaum etnik ini mesti diperkasakan kebudayaan dan kesenian mereka, walaupun kemungkinan mereka bukan sama bangsa dengan kita,” katanya.

Beliau berkata MSS dibawah kementerian itu telah mula beroperasi pada 2017 dan dijangka akan beroperasi sepenuhnya pada 2019 dengan setakat ini keseluruhannya seramai 297 peserta telah menyertai kurus bimbingan asas tarian, muzik moden, teater, vokal dan muzik tradisional dan seramai 111 peserta telah menyertai kursus seni persembahan yang disediakan MSS setiap Sabtu dan Ahad di DUN lama. — DayakDaily