Perahu karam, dua beradik ditemui lemas

Anggota SAR mengangkat mayat mangsa yang ditemui lemas.

KOTA SAMARAHAN, Mac 10: Malang menimpa dua beradik apabila mereka ditemui mati lemas selepas sebuah perahu yang dinaiki bersama bapa mereka karam di Sungai Pelaie di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa yang lemas dikenal pasti sebagai, Mohd Haziq Nur Aiman, 15, dan Mohd Hazim Nur Aiman, 13.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.09 petang.


Katanya, sejurus menerima laporan itu, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan telah diarahkan ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja-kerja menyelamat.

“Mangsa pertama iaitu Mohd Haziq telah ditemui pada pukul 2.45 petang, manakala adiknya ditemui pada pukul 3 petang.

“Semasa ditemui, kedua-dua mangsa sudah tidak bernyawa sebelum mereka dibawa ke darat untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Tiong memberitahu, mayat kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada keluarganya untuk proses pengecaman.

Katanya, mayat adik beradik malang itu kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tamat pada pukul 3.20 petang selepas mayat mangsa dibawa ke hospital.

“Pasukan polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan penduduk kampung turut membantu dalam operasi SAR itu,” katanya lagi. — DayakDaily