MEDAC lulus 10,710 permohonan lanjutan moratorium bernilai RM6.04 bilion setakat 8 Okt

Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 14 OKT: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menyahut seruan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar.

Menterinya Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, inisiatif ini adalah untuk mengurangkan beban kewangan rakyat serta cabaran aliran tunai yang dihadapi perniagaan susulan berakhirnya tempoh moratorium pada 30 September 2020.


Katanya, agensi-agensi pembiaya di bawah MEDAC telah mengambil inisiatif proaktif mendapatkan maklumbalas mengenai permohonan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar dari pemilik akaun terutamanya yang melibatkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

“Sehingga 8 Oktober 2020, sebanyak 18,670 permohonan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar dengan nilai sebanyak RM6.704 bilion telah diterima melalui agensi-agensi pembiaya di bawah MEDAC.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 10,710 permohonan dengan nilai RM6.04 bilion atau 90.15 peratus telah diluluskan,”kata Wan Junaidi menerusi kenyataan hari ini.

Agensi–agensi pembiaya di bawah MEDAC adalah Bank Rakyat, SME Bank, TEKUN Nasional, Perbadanan Nasional Berhad (PNS) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Tambah Wan Junaidi, Bank Rakyat telah meluluskan 5,610 permohonan dengan jumlah RM1.165 billion, SME Bank meluluskan 3.087 permohonan dengan jumlah RM4.844 billion dan TEKUN NASIONAL meluluskan 1,999 permohonan sebanyak RM27.39 juta.

Manakala Perbadanan Nasional Berhad(PNS) telah meluluskan 14 permohonan dengan jumlah RM3.95 juta.

“Namun begitu, sebanyak 5,422 permohonan dengan nilai RM622.34 juta atau 9.28 peratus pula telah ditolak atas beberapa justifikasi.

“Ia meliputi pendapatan pemohon tidak terjejas, pemohon gagal menyediakan bukti pendapatan terjejas.

“Pembiayaan dalam penjadualan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit(AKPK) dan pembiayaan tertunggak melebihi 90 hari dan tiada sumber bayaran balik,”ujar Wan Junaidi.

Mengulas lanjut, beliau berkata hanya 1.7 peratus permohonan yang ditolak adalah daripada PKS dan baki permohonan sebanyak 98.3 peratus adalah pemohonan individu.

Manakala baki permohonan sebanyak 2,538 dengan nilai berjumlah RM41.4 juta atau 0.57 peratus pula masih dalam proses semakan dan pertimbangan agensi.-DayakDaily.