MEDAC sambut baik keputusan tidak laksana kembali PKP

Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUALA LUMPUR, 7 Okt : Keputusan kerajaan untuk tidak melaksanakan kembali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara sebaliknya mengambil tindakan secara kawalan setempat melalui sekatan pergerakan bagi kawasan-kawasan tertentu terutamanya di daerah yang berada dalam kategori zon merah disambut baik Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC).

Menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, perlaksanaan semula PKP itu pastinya memberi impak buruk kepada ekonomi Malaysia yang sedang dalam proses pemulihan ketika ini.

Katanya, merujuk kepada situasi kini, proses pemulihan kembali ekonomi negara tidak lagi boleh berhadapan dengan perlaksanaan PKP kerana proses tersebut dimulakan menerusi suntikan dana oleh kerajaan melalui Penjana 1.0 dan Penjana 2.0 pada Mei dan Jun lepas.


“Saya masih ingat apa yang disebut oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 4 Mei yang lepas iaitu kerajaan bakal kehilangan sebanyak RM2.4 billion sehari kesan daripada pelaksanaan PKP dan perkara ini mesti dielakkan daripada berulang.

“Jika kerajaan bertindak untuk menguatkuasakan semula PKP di seluruh Negara makanya dikhuatiri segala apa yang dirancangkan akan lenyap begitu sahaja,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Walaupun demikian kata Wan Junaidi, rakyat dan komuniti peniagaan di negara ini harus sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengelakan perlaksaan kembali PKP untuk membendung penularan wabak COVID-19.

Ujar beliau, agensi di bawah MEDAC kini sedang rancak menjalankan latihan dan bimbingan bagi meningkatkan motivasi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk terus menjalankan perniagaan mereka walaupun berhadapan dengan situasi tidak menentu kesan daripada penularan wabak COVID-19. — DayakDaily