Medac komited mantapkan koperasi dan agenda pembangunan usahawan

Wan Junaidi (tiga dari kiri) menyampaikan bantuan di bawah skim pembiayaan informal kepada salah seorang penerima.

KUCHING, 21 Mac: Operasi pejabat serta cawangan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) samada di daerah atau negeri bagi semua agensi di bawahnya terus beroperasi dan sentiasa siap siaga.

Menterinya Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia bagi memberi khidmat kepada semua rakyat yang memerlukan terutama usahawan dan koperasi walaupun negara kini dikuatkuasakan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pembukaan pejabat Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Masjid Tanah ini contohnya, membuktikan bahawa kerajaan menerusi Medac terus proaktif dan komited.


“Ini bagi memastikan koperasi terus diberi perhatian bagi meneruskan operasinya terutama dalam tempoh sukar akibat penularan pandemik Covid-19,” katanya.

Wan Junaidi berkata demikian ketika ditemui di Majlis Perasmian Pembukaan Pejabat SKM Cawangan Masjid Tanah di Melaka hari ini.

Berhubung pembukaan cawangan tersebut, beliau yakin ia secara tidak langsung dapat memberikan perkhidmatan khusus berkaitan koperasi.

Katanya, terdapat 6,950 anggota daripada 52 buah koperasi di Parlimen Masjid Tanah yang telah menyumbang jumlah aset serta perolehan masing-masing sebanyak RM24.97 juta dan RM7.87 juta setakat ini.

“Tindakan ini juga dilihat sebagai menyahut saranan serta menyokong keputusan kerajaan negeri Melaka yang telah mengisytiharkan Masjid Tanah sebagai daerah baru di Melaka.

“Usaha ini ke arah memastikan agar Masjid Tanah menjadi antara daerah termaju di Melaka menjelang 2025,” ujar beliau.

Pada majlis yang sama, Wan Junaidi turut menyampaikan bantuan pembangunan dan pembiayaan Tabung Modal Pusingan (TMPSKM) berjumlah RM1.2 juta kepada 11 koperasi di negeri Melaka.

Medac melalui SME Corp dan Tekun Nasional turut menyampaikan pembiayaan kepada 15 usahawan SME Corp di bawah Program Peningkatan Enterprise Bumiputera (BEEP) dan Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) serta 10 usahawan Tekun Nasional di bawah Program Skim Pembiayaan Informal dengan jumlah pembiayaan berjumlah RM1.2 juta dan RM50,000. — DayakDaily