Masalah teknikal kawasan takungan Sungai Maong akibatkan gangguan bekalan air di Tanjong Manis

Dr Abdul Rahman bergambar bersama salah seorang penerima tangki air di Kampung Sungai Bedaun, Kuching.

KUCHING, 27 Nov: Masalah teknikal di kawasan takungan air Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) di Sungai Maong dekat Bandar Sibu di kenal pasti menjadi antara punca masalah bekalan air di kawasan Tanjung Manis.

Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata bagi mengatasi gangguan tersebut kerajaan Sarawak mengambil pendekatan dengan menempatkan lapan hingga 10 unit tangki air bersaiz besar di setiap kampung di kawasan itu, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop yang sering mengalami dan berhadapan dengan masalah bekalan air.

Katanya, tangki air tersebut diletakkan di pelantar kayu yang dibina lebih tinggi bagi memastikan tekana air yang cukup sekali gus dapat membekalkan bekalan air yang berterusan ke kampung yang terlibat.


“Kampung Panipah, contohnya, kita letakkan lapan tangki besar di tengah-tengah kampung itu dan JBALB Mukah akan menghantarkan air bersih ini melalui lori tangki bagi mengisikan tangki tersebut.

“Jadi orang kampung boleh mendapat bekalan air daripada pengumpulan tangki ini daripada masa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata, keadaah tersebut nyata lebih effektif bagi mengatasi masalah bekalan air yang dihadapi penduduk malah turut dilaksakan di kawasan lain yang berhadapan dengan masalah sama.

Dr. Abdul Rahman berkata, JBALB  turut  dengan membekalkan  bekalan air daripada sumber lain turut dilakukan ke kawasan kampung terbabit dengan membina jaringan paip menerusi Jambatan Batang Paloh yang sedang dalam pembinaan.

“Paip ini menggunakan terus Jambatan Batang Paloh yang akan dibina dan dijangka kawasan-kawasan ini akan mendapat bekalan air berterusan menjelang tahun 2022,” katanya. — DayakDaily