230 unit tangki air bantu atasi masalah bekalan air di DUN Pantai Damai

D. Abdul Rahman secara simbolik menyerahkan 41 buah tangki air kepada Ketua Kampung Sungai Bedaun, Abang Abdul Nassir Abang Ahmad.

KUCHING, 27 Nov: Sejumlah 230 unit tangki air disediakan kepada penduduk di 12 buah kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai yang sering berhadapan dengan masalah bekalan air.

Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata langkah tersebut sebagai alternative kepada masalah yang dihadapi penduduk susulan tekanan air yang rendah terutamanya ketika musim kemarau.

“Sebelas kampung yang lain telahpun kita hantar dan kita berada di kampung yang terakhir di DUN Pantai Damai dan hari ini melibatkan 41 unit tangki untuk kegunaan penduduk di Kampung Sungai Bedaun ini,” katanya ketika media selepas menyerahkan tangki air di Kampung Sungai Berdaun di sini, hari ini.


Beliau berkata, Kementerian Utiliti (bekalan air) telah mengedarkan  sebanyak 20,371 unit tangki air ke seluruh Sarawak bagi tahun 2018 dan 2019.

Jumlah tersebut katanya meningkat pada tahun 2020 dengan 30,534 unit tangki sama sedang dan akan diedarkan kepada penduduk yang memerlukan di seluruh negeri.

“Jadi pada tahun 2018 dan 2019, kerajaan Sarawak telah pun berbelanja RM27.3 juta untuk membiayai tangka ini, manakala pada tahun ini (2020) kerajaan negeri akan berbelanja sebanyak RM49.5 juta,” katanya

Dr Abdul Rahman berkata penghantaran tangki air tersebut pada fasa seterusnya akan memberikan fokus kepada kawasan yang tidak mendapat bekalan air 24 jam.

Jelasnya, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terlibat telah diberikan tugas untuk membantu Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) bagi mengagihkan tangki air tersebut ke seluruh kawasan yang memerlukan di kawasan DUN masing-masing.

“Program membekalkan tangki air ini adalah berterusan dan kita telah pun habis pada fasa yang pertama dan kini kita sedang berada pada fasa kedua dan ketiga untuk membekalkan tangka-tangki air tersebut.

“Pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) diminta untuk mengenal pasti tempat mereka yang masih memerlukan tangki air ini dan sampaikan maklumat itu ke pejabat daerah masing-masing kerana kita hendak kumpulkan data ini,” katanya.

Jelas beliau, Pejabat Daerah terlibat akan menyerahkan data-data tersebut kepada Kementerian Utiliti dan program pembekalan tangki air akan dilaksakan berdasarkan kepada maklumat permohonan yang diserahkan oleh Pejabat Daerah terlibat. — DayakDaily