Masalah bekalan air di Bau disebabkan kebocoran paip akibat kerja pembinaan Lebuhraya Pan Borneo

Kerja membaiki kebocoran paip di Jalan Selalang/Tondong kerana tanah runtuh yang diakibatkan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di Bau.

KUCHING, Dis 5: Kementerian Utiliti Sarawak menjelaskan yang masalah bekalan air di pekan Bau dan sekitarnya yang bermula hujung bulan lepas adalah berpunca dari kebocoran paip akibat kerja pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di Jalan Selalang/ Tondong dan Kampung Sibuluh di Bau.

Menurut kenyataan media kementerian itu, pihak Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) telah memaklumkan yang berlaku juga kebocoran injab udara yang dikesan di Jalan Keranji dari Nov 28 lepas sehingga Isnin yang menyebabkan bekalan air yang tidak konsisten berlaku di kawasan terbabit.

“Kerja membaikpulih kebocoran paip dan injap terbabit telah dilakukan dengan kadar yang segera oleh pihak JBALB dan kontraktor Lebuhraya Pan Borneo. Namun bekalan air kembali pulih secara berperingkat di kawasan yang terlibat,” menurut kenyataan media kementerian itu semalam.


Sehubungan itu pihak kementerian itu dan JBALB menegaskan mereka adalah komited untuk memastikan segala gangguan bekalan air yang timbul di kawasan Bau akan diselesaikan dengan segera.

Ini berikutan orang ramai telah menyuarakan kemarahan mereka terhadap masalah air yang kerap terputus di kawasan Bau di surat khabar tempatan baru-baru ini.

Kementerian itu sehubungan itu memohon maaf di atas segala kesulitan yang dialami oleh pengguna di kawasan yang terjejas serta sekiranya terdapat masalah gangguan bekalan air atau kebocoran paip di kawasan tertentu, laporan dan aduan dari orang awam amatlah dialukan pihaknya.

Selain itu, segala perkembangan terkini masalah air terbabit juga akan sentiasa dilaporkan kementerian itu dari masa ke semasa dan segala pertanyaan mengenainya bolehlah menghubungi JBALB Bahagian Kuching di talian 082-203497. — DayakDaily