‘Masalah bekalan air dari loji rawatan air Engkilili, Sebeliau dan Skrang perlu diatasi segera’

Johnichal Rayong Ngipa

KUCHING, Nov 9: Kerajaan negeri diminta membantu mengatasi segera masalah bekalan air dari loji rawatan air Engkilili, Sebeliau dan Skrang yang sering terputus sehingga berminggu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnichal Rayong Ngipa berkata masalah tersebut menyebabkan banyak kampung dan rumah panjang di kawasan DUN itu kerap kehabisan bekalan air sehingga penduduk tiada air langsung malahan bagi kegunaan penting.

“Walaupun kita mempunyai Loji Bekalan Air di Engkilili, di Sebeliau, di Skrang namun bekalan air dari loji ini sering terputus sampai berminggu. Masa ada kenduri atau orang meninggal dunia di rumah panjang… masalah tidak ada air ini akan amat sakit dirasai penduduk kawasan (DUN Engkilili),” katanya ketika sesi debat Belanjawan 2019 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Petra Jaya, di sini, semalam.


Sehubungan itu, beliau mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk menyediakan sumber bekalan air alternatif selain dari loji rawatan air kepada penduduk kawasan DUN terlibat.

“Setidak-tidak pun, rakyat di kawasan saya dibekalkan dengan tong atau tangki air buat sementara,” katanya.

Beliau mencadangkan kawasan rumah panjang yang perlu diutamakan dan segera diselesaikan masalah air mereka dengan kaedah itu ialah Kawasan Batang Air Hilir, Skrang Hilir, Lidong Bangat, Tanjong, Enteban, Memaloi, Semueh, San, Semanju, Merindum dan Sungai Keruh Engkilili.

Disamping itu, beliau juga meminta kerajaan negeri memberi lebih banyak peruntukan diagihkan melalui program ‘venture capital’ seperti menternak khinzir, lembu, kambing, ayam, itik, burung walit, ternakan ikan dan sebagainya untuk manfaat semua petani.

Katanya peruntukan tanaman buahan juga perlu diberikan subsidi dan bantuan lain kepada petani menerusi Jabatan Pertanian Daerah Lubok Antu dan Daerah Engkilili.

Ini kerana harga komoditi mentah seperti kelapa sawit, getah, lada dan sebagainya sudah menurun yang menjejaskan pendapatan petani di luar bandar.

“Sementara harga barang keperluan semakin naik walaupun GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) telah dimansuhkan kerajaan PH (Pakatan Harapan). Dulu harga barang naik kononnya kerana GST,” katanya dan mendedahkan ketika ini harga barang terus meningkat di luar bandar walaupun tiada lagi GST. — DayakDaily