Maritim Malaysia tahan bot nelayan, disyaki menangkap ikan di zon yang tidak dibenarkan

Bot nelayan yang ditahan kerana menangkap ikan di luar zon dibenarkan.
Advertisement

TANJUNG MANIS, 28 Mac: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Manis telah menahan sebuah bot nelayan tempatan yang disyaki menjalankan aktiviti menangkap ikan di luar zon yang dibenarkan.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Gilbert Tinggak Numpang berkata bot tersebut telah ditahan lebih kurang 9.6 batu nautika dari Tanjung Sirik, Daro lebih kurang pukul 1.25 petang, semalam.

“Lebih kurang pukul 12.15 tengahari, aset Maritim Malaysia Bot Petir 82 yang sedang melaksanakan operasi pemantauan berdekatan dengan perairan tersebut telah mengesan sebuah bot nelayan tempatan kelas C dalam keadaan mencurigakan.

Advertisement

“Bot tersebut disyaki sedang leka melakukan aktiviti penangkapan ikan dengan menggunakan pukat tunda lebih kurang tiga batu nautika dari bot Petir 82,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, hasil penggeledahan mendapati bot berkenaan dikendalikan oleh seorang tekong warga tempatan, tiga kru warga tempatan dan dua orang kru warga Indonesia dalam lingkungan usia 17 hingga 51 tahun.

“Kesemua kru dan hasil tangkapan ikan campur yang dianggarkan lebih kurang 2,500 kilogram beserta bot nelayan ditahan dan diiring masuk ke Jeti Terminal Tanjung Manis.

“Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana telah melanggar syarat sah lesen dengan melakukan aktiviti menangkap ikan kurang daripada jarak yang dibenarkan,” katanya.

Maritim Malaysia mengingatkan kesemua komuniti maritim supaya mematuhi segala peraturan undang-undang sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut.

“Komuniti maritim turut diminta untuk melaporkan segera sebarang aktiviti yang mencurigakan ataupun kemalangan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Tanjung Manis (010-5063293)/ Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) yang beroperasi 24 jam,” katanya. — DayakDaily

Advertisement