Kapal bawa muatan 120,000 liter diesel ditahan di perairan Miri

Kapal yang membawa muatan 120,000 liter diesel.

MIRI, 28 Mac: Sebuah kapal jenis ‘landing craft’ membawa muatan 120,000 liter minyak diesel ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Miri semalam.

Pengarah Zon Maritim Miri Kapten Maritim Mohd Shafie Paing berkata kapal tersebut ditahan untuk pemeriksaan di kedudukan 6 batu nautika dari barat laut Kuala Baram sekitar jam 12 tengah hari.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati melakukan beberapa kesalahan, antaranya kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, kerana vesel membawa lebih muatan, dan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana kerana tiada dokumen Surat Control Supplies Act (CSA).


“Kapal yang membawa diesel beranggaran 120,000 liter itu juga disyaki tiada Sijil Petroleum Development Act (PDA), serta disyaki membawa minyak diesel melebihi kuantiti yang dibenarkan di dalam Borang C semasa diperiksa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, kapal tersebut dikendalikan sembilan kru termasuk tekong yang kesemuanya warganegara tempatan berumur 21 hingga 66 tahun.

“Semasa ditahan mereka sedang belayar dari perairan Baram menuju ke Miri.

“Kesemua kru, kapal serta anggaran diesel sebanyak 120,000 liter yang bernilai lebih kurang RM300 ribu ditahan dan diiring masuk ke Jeti Pusat Tahanan Vesel (PTV), Zon Maritim Miri untuk siasatan lanjut oleh pegawai penyiasat,” katanya.

Kes akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, serta Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta bagi individu perseorangan atau RM2 juta bagi pertubuhan perbadanan dan penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. — DayakDaily