Majlis Presiden PH kukuh di bawah kepimpinan Anwar

Dato Sri Anwar Ibrahim - file pic

KUCHING, 23 Ogos: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang bermesyuarat hari ini mengulangi komitmen bahawa gabungan politik itu akan diperkukuh di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi.

Anwar, yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lim Guan Eng dalam satu kenyataan bersama berkata, segala persiapan menuju Pilihan Raya Umum ke-15 akan dipergiat menerusi perbincangan kerusi.

Ini termasuk perbincangan manifesto, barisan kepimpinan dan calon, serta strategi untuk memenangi mandat rakyat.


Pada masa yang sama, selaras dengan Ketetapan Port Dickson bertarikh 9 April, 2021 dan untuk menggembleng kekuatan seluruh blok Pembangkang, PH mengambil pendirian yang terbuka untuk berunding dan bekerjasama di bawah konsep ‘Khemah Besar’ berdasarkan Agenda Reformasi dan kepentingan rakyat,” katanya.

Menurut kenyataan itu, usaha menggembleng tenaga tersebut menerusi kaedah ‘Khemah Besar’ dikalangan ahli pembangkang mesti diberikan keutamaan.

Katanya, ia mengatasi permainan dan percaturan politik kuasa yang diperalatkn oleh pihak tertentu untuk merebut kuasa dan jawatan yang hanya akan merugikan negara.

“PH juga akan meneruskan tugas di Parlimen sebagai pembangkang yang memberikan kritikan, teguran, syor dan pandangan yang membina dan bertanggungjawab.

“Ini bersesuaian  dengan titah nasihat Yang di-Pertuan Agong demi memastikan proses semak imbang ke atas kuasa Eksekutif terus dilaksana,” katanya.

Mesyuarat Majlis Presiden PH hari ini membincangkan isu politik dan keadaan semasa tanah air.

Turut dibincangkan ialah isu penularan wabak Covid-19 yang terus merisaukan dengan jumlah kes baharu dan angka kematian harian yang tinggi.

“PH turut risau akan masalah ekonomi semasa, termasuk isu pengangguran, pendapatan yang berkurangan, sektor-sektor yang amat terkesan dan perancangan Kerajaan untuk menghidupkan semula ekonomi,” katanya. — DayakDaily