MA63 bukan tebusan politik BN — Cobbold John

SRI AMAN, Dis 26: Presiden Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) Cobbold John Lusoi menyifatkan ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa Persidangan Tiga Tahun Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) tempoh hari sebagai ugutan politik, .

Dalam ucapan nya, Perdana Menteri dipetik sebagai berkata beliau bersedia mengembalikan hak-hak Sabah dan Sarawak yang sekiranya kerajaan persekutuan telah mengambil atau terambil hak-hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (Malaysia Agreement 1963 atau MA63) secara sengaja atau tidak. Walaubagaimanapun, beliau menegaskan dua syarat, iaitu, tiada istilah keluar dari Persekutuan Malaysia dan juga meminta agar rakyat Sarawak menyokong penuh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ketika dihubungi semalam, Cobbold mengecam kenyataan Najib sebagai sebuah ugatan politik.

“Tidak ada keperluan atau mana-mana peruntukan dalam perundangan Malaysia menyatakan bahawa sokongan kepada Barisan Nasional akan mengembalikan hak-hak Sarawak dalam Perjanjian Malaysia MA63 yang terhakis. Ini satu “politik tebusan” dan suatu tindakan yang tidak menghormati kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dalam pembentukan Malaysia,” kata Cobbold dalam satu kenyataan media hari ini.

Cobbold menegaskan bahawa hak-hak Sabah dan Sarawak telah termaktub dalam MA63 dan beliau mempersoalkan kredibiliti Najib sebagai seorang Perdana Menteri.

“Pihak yang terlibat dalam perjanjian tersebut adalah United Kingdom, Persekutuan Tanah Melayu (Malaya), North Borneo (Sabah), Sarawak dan Singapura,” jelasnya.

“Najib bukan sebuah negara, mana ada kata Najib dan Barisan Nasional dalam MA63? Beliau hanya lah Perdana Menteri yang diamanahkan tugas mentadbir Malaysia dan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong”, kata Cobbold dengan nada sindiran.

“Yang menarik adalah hak wilayah laut dan kita rakyat Sarawak hendak tahu bagaimana Malaysia mengembalikan hak kita. Jangan pula kerajaan BN cakap PETRONAS yang salah kelak,” ulas Cobbold.

Cobbold juga menyeru agar Pakatan Harapan bertindak lebih proaktif sekiranya berjaya menawan Putrajaya pada PRU14. Katanya, anjakan paradigma PH adalah perlu dan bukan seperti sebelumnya. — DayakDaily