Pegawai bomba dan keluarga berdepan detik cemas, kenderaan dinaiki jatuh gaung

Keadaan kenderaan yang jatuh gaung.

SIBU, Dis 27: Seorang pegawai bomba bersama isteri dan anaknya berdepan detik mencemaskan apabila kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas lalu terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira tiga meter di Batu 14 Jalan Oya- Sibu di sini awal pagi ini.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 1.20 pagi itu, ketiga-tiga mangsa dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak, Tiong Ling Ling berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.24 pagi.

Katanya, sejurus menerima laporan insiden itu, sepasukan lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah dikerahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati ketiga-tiga mangsa sudah keluar dari kenderaan jenis Mitsubishi Triton yang dipandu pegawai bomba terbabit.


“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Tiong memberitahu, pihak bomba kemudian bertindak melakukan kerja-kerja pembersihan membuang sisa-sisa bekas kemalangan sebelum bertolak balik ke balai.

“Operasi itu turut disertai pasukan polis,” katanya lagi. — DayakDaily