‘Lock down’ serta merta untuk ladang kelapa sawit di daerah Beluru

Sarawak Covid-19

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 26 JAN: Susulan dua kes positif Covid-19 jangkitan tempatan dikesan di daerah Beluru, sebuah ladang kelapa sawit telah dikenakan perintah ‘lock down’ serta merta berkuatkuasa 25 Januari sehingga 8 Februari.

Perkara ini telah dinyatakan Menteri Pengangkutan Sarawak yang juga menteri bertangungjawab bagi Jawatankuasa Pengurusan Bencana bahagian Miri (JPBB Miri) Datuk Lee Kim Shin pada Selasa.


“JPBB Miri telah bersetuju untuk menguatkuasakan perintah ‘lock down’ ke atas sebuah Ladang kelapa sawit di daerah Beluru yang membabitkan 2 kes positif jangkitan tempatan,” ujar Lee dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam perkembangan lain, Lee turut memaklumkan bahawa Stadium Tertutup Miri (Miri Indoor Stadium) telah dijadikan Pusat Sehenti (One Stop Centre) COVID-19 bagi tujuan pengeluaran Quarantine Order, pemakaian wristband, pelaksanaan ujian swab RT-PCR COVID-19 dan seterusnya pengeluaran Quarantine Release Order serta pembuangan wristband.

Pusat Sehenti ini secara umumnya dikhususkan untuk dua kategori iaitu individu yang melalui temujanji dengan Pejabat Kesihatan Bahagian Miri iaitu individu yang merupakan kenalan rapat kepada kes positif dan individu yang memerlukan swab pengawasan.

Manakala kategori yang kedua pula adalah secara ‘walk-in’ iaitu bagi individu yang pernah dalam lokaliti yang dinyatakan terdedah kes positif seperti dalam kenyataan harian JPBNS dan individu yang ingin membuat swab test.

JPBB Miri ingin menekankan bahawa Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 hanya membenarkan pegawai yang diberi kuasa dari Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mengeluarkan Quarantine Order atau Quarantine Release Order.

Manakala pemakaian dan pembuangan wristband pula akan dilakukan oleh pegawai dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 seperti penjarakan fizikal adalah dititikberatkan dan adalah di bawah pengawasan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang bertugas dan proses sanitasi pula dilakukan oleh pihak Bomba pada setiap hari.

Orang ramai adalah dinasihatkan untuk memanfaatkan kemudahan ujian swab di Pusat Sehenti ini agar kawalan dan pencegahan pandemik COVID-19 ini dapat dicapai.

Dalam pada itu, sebanyak 611 buah premis perniagaan setakat semalam telah diperiksa oleh Majlis Bandaraya Miri (MBM) yang meliputi 28 buah pasaraya, 513 restoran/premis makanan, 34 penjaja dan 13 pusat penjaja.

Sebanyak 19 jumlah nasihat telah dikeluarkan dan pihak Majlis Bandaraya Miri mengesahkan bahawa kebanyakan premis makanan dan minuman semasa pemantauan dibuat mematuhi SOP PKPB.

Amaran secara lisan dan nasihat pula diberikan kepada premis yang mengambil ringan terhadap pematuhan SOP PKPB.

JPBB Miri turut mengingatkan masyarakat agar sentiasa mematuhi SOP dan elakkan 3C iaitu jauhi kawasan yang sesak (crowded place), elakkan kawasan yang sempit (confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (close conversation) dan amalkan 3W merangkumi kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), memakai pelitup separuh muka di tempat awam atau jika bergejala (wear), serta mengikuti nasihat yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (warn). — DayakDaily