Len: Bangunkan produk ‘kayu tereka bentuk’ untuk tembusi pasaran dunia

Len (dua dari kiri) menyaksikan pameran produk perkayuan pada seminar tersebut.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 7 Dis: Sarawak harus membangunkan produk kayu tereka bentuk atau ‘engineered wood’ untuk merebut pasaran dunia bernilai US$41.27 bilion menjelang 2022.

Menteri Muda Pembangunan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datu Len Talif Salleh berkata, ia adalah petanda baik buat Sarawak kerana telah melaksanakan projek hutan tanam semula.


Justeru katanya, kerjasama dengan agensi penyelidikan seperti institusi pengajian tinggi dan pemain industri harus diadakan untuk mencapai tujuan tersebut.

“Kita perlu meningkatkan pembinaan kapasiti kita dari segi pengetahuan dan teknologi,” katanya ketika merasmikan ‘Seminar on Engineered Timber Products 2020’ di sini, hari ini.

Menurut Len, Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah memulakan kerjasama dalam mempromosi dan berkongsi pengetahuan mengenai produk kayu tereka bentuk.

Di samping itu katanya, Pusaka juga berkerjasama dengan Woodsfield Glulam Sdn Bhd, syarikat berpangkalan di Johor yang mengkhususkan dalam menghasilkan kayu tereka bentuk dan mengeksport produknya ke luar negara.

“Kerjasama itu menumpukan kepada penyelidikan dan pembangunan dalam menghasilkan kayu tereka bentuk menggunakan spesis kayu Acacia daripada hutan tanam semula.

“Untuk kekal ke depan, kita harus fokus terhadap sumbangan kepada industri untuk kekal relevan dan industri berasaskan kayu terus bertahan,” katanya. — DayakDaily