Lelaki warga Indonesia ditemui tidak sedar diri di tepi jalan di Bekenu, dipercayai ditikam

ACP Hakemal Hawari

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 12 Ogos: Polis Miri sedang giat mengesan beberapa suspek warga Indonesia selepas seorang pekerja ladang kelapa sawit ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di tepi jalan sebuah kawasan ladang sawit di Bekenu awal pagi Rabu (11 Ogos).

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, mangsa warganegara Indonesia berusia 44 tahun itu ditemui dalam keadaan cedera parah pada bahagian belakangnya dipercayai akibat daripada ditikam menggunakan objek tajam.


“Mangsa ditemui pengawal keselamatan sebuah ladang di Bekenu sekitar jam 6.50 pagi Rabu dalam keadaan tidak sedarkan diri,” ujarnya.

Susulan penemuan itu, pengawal keselamatan ladang berkenaan telah menghubungi pihak ambulans dari Klinik Kesihatan Beluru dan seterusnya mangsa telah dibawa ke Hospital Umum Miri untuk terima rawatan selanjutnya.

Satu laporan polis telah dibuat.

Difahamkan mangsa merupakan pekerja sebuah lagi ladang berhampiran.

“Kita percaya mangsa telah diserang sekumpulan lelaki yang juga warga Indonesia di kawasan Sepupuk, Batu Niah iaitu tidak jauh dari sebuah kedai dobi kurang empat jam sebelum mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di tepi jalan sebuah ladang di Bekenu,” kata Hakemal.

Punca kejadian belum dikenalpasti dan siasatan sedang dijalankan.

Mangsa telah dibawa ke Hospital Miri dan sedang menerima rawatan di unit kecemasan.

“Sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri telah dikerahkan ke lokasi bagi melakukan siasatan,” jelas Hakemal.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mencederakan dengan senjata. — DayakDaily