Lelaki kena tahan kerana melakukan ugutan ketika minta hutang

Suspek (dua dari kanan, barisan depan) dibawa ke lokap Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 17 Jan: Padah melakukan ugutan jenayah ketika minta hutang pada petang Ahad, seorang lelaki telah ditahan pihak polis untuk siasatan lanjut.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, suspek berusia 52 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri sekitar jam 3.20 petang semalam sebaik sahaja menerima laporan daripada mangsa.


Difahamkan, kejadian ugutan itu berlaku pada hari yang sama (Ahad) di hadapan sebuah kedai makanan laut di Pujut 5C sekitar jam 3 petang.

Sebelum kejadian, mangsa, berusia 39 tahun itu telah menerima satu panggilan telefon daripada suspek yang mengajaknya untuk berjumpa bagi membincangkan soal hutangnya.

Walaubagaimanapun, semasa pertemuan itu, mangsa menafikan perkara tersebut.

Berang dengan jawapan mangsa itu, suspek dipercayai telah mengugut akan menumbuk mangsa sehingga pengsan ke lantai ,sekiranya mangsa enggan menjelaskan hutangnya.

Oleh kerana bimbang akan keselamatan dirinya, mangsa telah membuat satu laporan polis berhubung kejadian.

Hasil siasatan awal, mendapati suspek telah mengenali mangsa sejak tahun 2014 ketika bergiat aktif dalam sukan ‘paintball’.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. ― DayakDaily