79 penagih dan pengedar dadah ditangkap di Kuching sejak awal tahun

Gambar komposit sepanjang operasi tersebut.

KUCHING, 17 Jan: Seramai 79 suspek, terdiri 68 lelaki dan 11 wanita ditangkap kerana disyaki terlibat aktiviti penyalahgunaan dadah di sekitar Kuching sejak 1 hingga 14 Januari.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata kesemua suspek ditangkap dalam beberapa operasi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di Kampung Sungai Bedil Besar, Kampung Lintang, Gita, Semerah Padi, Semariang dan di Kampung Tabuan Hilir.

Katanya, terdapat juga tangkapan dibuat di Jalan Abell, Jalan Green, Jalan Nanas Barat, Jalan Ban Hock, Jalan Tun Jugah, Jalan Pisang, Jalan Hup Kee, Taman Sri Sarawak dan Queen Residence.


“Suspek-suspek yang ditangkap berusia lingkungan 20 hingga 66 tahun dan terdapat satu kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Selain itu, satu kes juga disiasat di bawah Seksyen 39A(2) ADB 1952, tujuh kes Seksyen 39A(1) ADB 1952, 11 kes Seksyen 12(2) ADB 1952, dua kes seksyen 6 dan 32 kes lagi disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, terdapat juga pelbagai jenis dadah dirampas dalam operasi tersebut termasuk syabu, kira-kira 147.36 gram.

“Tangkapan adalah termasuk Ops Sarang,” katanya.

Siasatan lanjut juga mendapati 33 suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah berkaitan dadah.

“IPD Kuching sentiasa mengalu-alukan maklumat orang awam berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah,” katanya. ― DayakDaily