Lelaki hilang ketika memancing di Lubok Antu ditemui selamat

Operasi SAR mangsa yang turut disertai penduduk kampung.
Advertisement

LUBOK ANTU, 28 Jun: Seorang lelaki, berusia 46 tahun, dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu ketika pergi memancing di kawasan Bukit Bulo di sini berjaya ditemui selamat hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata mangsa dalam keadaan lemah semasa ditemui iaitu kira-kira satu kilometer dari Pusat Kawalan Bomba pada jam 3.15 petang.

Jelasnya mangsa kemudian diberikan bantuan kecemasan dan dihantar ke klinik berdekatan untuk pemeriksaan kesihatan.

Advertisement

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa turut disertai polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.

Difahamkan mangsa tersebut keluar memancing pada Sabtu dan sempat menghubungi isterinya pada Ahad (27 Jun) memaklumkan dia sesat di dalam sebuah ladang sawit.

Susulan itu, isteri mangsa telah membuat laporan pada hari ini untuk bantuan mencari dan menyelamat (SAR) selepas mangsa masih belum berjaya menemui jalan keluar dari ladang sawit tersebut.

Operasi SAR hari ini dimulakan pada jam 9.25 pagi dan telah menemui motosikal mangsa dan bekas potongan ranting kayu.

Pencarian turut dilakukan di lokasi terakhir mangsa membuat panggilan kepada isterinya. — DayakDaily

Advertisement