Lelaki hilang semasa periksa pukat, ditemui mati

Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

BATU NIAH, 10 Feb: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang semasa memeriksa pukatnya di dalam parit di sebuah ladang di sini pada Khamis lepas ditemui mati hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata mayat mangsa ditemui terapung kira-kira 15 meter dari lokasi kejadian.

Katanya, mayat mangsa ditemui sekitar jam 10.20 pagi oleh anggota operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.


Mayat mangsa kemudian diserahkan kepasa polis untuk tindakan selanjutnya.

Pada Khamis lepas, mangsa dikatakan bersama rakannya keluar memeriksa pukat yang dipasang mereka sekitar jam 12 tengah hari.

Setiba di lokasi kejadian, mangsa menyelam ke dalam parit tersebut untuk membetulkan pukat mereka.

Bagaimanapun, mangsa dikenali sebagai Robin Simpurai, 33 tahun, terus tengelam dan tidak timbul-timbul selepas itu.

Laporan polis dibuat dan operasi SAR terus dilancarkan selepas itu. — DayakDaily