Nanta: Bukan masanya naikkan harga barangan dan perkhidmatan

Datuk Sri Alexander Nanta Linggi — file pic

KUCHING, 28 Jun: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berpandangan bahawa ini bukanlah waktu yang sesuai untuk peniaga dan industri menaikkan harga barangan dan perkhidmatan mereka.

Menterinya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, langkah ini tentunya akan menambahkan beban kepada pengguna yang sememangnya telah terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Kementerian menyeru semua pihak, komuniti peniaga dan pengguna untuk bersama dengan kerajaan dalam menumpukan sepenuh perhatian dan usaha menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).


“Ini terutamanya dalam menurunkan kes harian dan meningkatkan kecapaian imunisasi kelompok,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

KPDNHEP mengambil maklum permohonan yang diterima daripada beberapa syarikat dan industri yang berhasrat untuk menaikkan harga produk keluaran mereka.

Permohonan ini melibatkan pelbagai jenis produk makanan dan bahan makanan serta barangan keperluan harian yang lain.

Dalam kenyataan itu, Nanta juga memohon kepada kerajaan untuk menyegerakan program imunisasi khusus untuk barisan hadapan ekonomi.

Katanya, ia supaya negara boleh bergerak ke arah pembukaan lebih banyak sektor ekonomi apabila semua yang terlibat telah menjalani imunisasi sepenuhnya. — DayakDaily