Lelaki ditahan selepas disyaki mengugut bunuh bapanya pasal duit

Polis Miri menahan suspek (dua dari kiri) untuk siasatan lanjut.

MIRI, 2 Mei:  Duit punya pasal, seorang anak dipercayai sanggup mengugut bunuh bapa kandungya.

Susulan kejadian, suspek berusia 25 tahun itu telah ditahan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri untuk tindakan lanjut semalam.

Tangkapan dilakukan sekitar jam 4.40 petang di rumah keluarganya di Taman Jelita, Taman Tunku di sini.

Dalam kejadian yang berlaku pada 13 April lalu di sebuah rumah di Taman Jelita, Taman Tunku, suspek telah dipercayai mengugut bunuh bapanya selepas pengadu enggan memberikannya wang.

Risau akan keselamatan dirinya selepas diugut anaknya itu, pengadu berusia 63 tahun itu telah tampil membuat laporan polis.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah. — DayakDaily