Dua suspek kes bunuh di Lundu ditangkap untuk siasatan lanjut

Gambar semasa kejadian yang dilaporkan berlaku pada 10 Mac lalu.

LUNDU, 30 Mac:  Dua suspek kes bunuh seorang pekerja ladang di hadapan ladang Polima Sdn Bhd di Lundu pada 10 Mac lalu telah berjaya ditangkap semalam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri berkata kedua-dua suspek ditangkap di hadapan bangunan CIQ Biawak, Lundu.

Katanya, kedua-dua suspek merupakan warga tempatan berusia 24 dan 25 tahun.


“Pasukan polis turut merampas sebatang senjata yang dipercayai digunakan untuk menyerang mangsa dalam kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kedua-dua suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Siasatan terperinci akan dijalankan dari pelbagai sudut dan hasil siasatan akan dimajukan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tujuan pertuduhan,” katanya.

Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 9.20 malam (10 Mac) itu, seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepada dan muka.

Gambar semasa kejadian yang dilaporkan berlaku pada 10 Mac lalu.— DayakDaily