Lelaki ditahan kerana memegang punggung seorang staff perubatan di Hospital Miri secara tiba-tiba

Suspek (dua dari kiri) ditahan anggota JSJ Miri.

MIRI, 24 April: Perbuatan seorang lelaki warga tempatan memegang bahagian punggung seorang staff perubatan di Hospital Miri pada pagi semalam (23 April), membawa padah, apabila dia ditahan polis untuk siasatan lanjut.

Kejadian berlaku di hadapan kaunter pendaftaran unit kecemasan Hospital Miri sekitar jam 10.30 pagi.

Perbuatan tidak bermoral tersebut telah berjaya dirakam kamera litar tertutup di bahagian unit tersebut.


Difahamkan, suspek berusia 44 tahun telah datang ke bahagian unit kecemasan untuk tujuan perubatan, namun semasa berada di hadapan kaunter pendaftaran, telah secara tiba-tiba memegang pungung bahagian kiri mangsa yang berusia 26 tahun berkenaan.

Satu laporan polis telah dibuat mangsa berhubung kejadian.

Bertindak daripada laporan tersebut sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri telah menahan suspek kurang lima jam selepas kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari ketika dihubungi berkata suspek kini ditahan di Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan. — DayakDaily