Lelaki disyaki pengedar dadah tumpas dalam cubaan seludup dadah menggunakan bas ekspres

Gambar komposit menunjukkan dadah yang dirampas daripada suspek.

KUCHING, 31 Jan: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak menangkap seorang lelaki disyaki terlibat kegiatan penyeludupan dadah menggunakan bas ekspres pada 10 Januari lalu.

Menjalankan tugas-tugas (m.t.t.) Pengarah Kastam Negeri Mohd Nadzri Ariffin berkata suspek, 30an, itu ditangkap ketika hadir di terminal bas berkenaan sekitar jam 2.15 petang.

Katanya, suspek ditangkap pegawai dari Cawangan Narkotik JKDM Sarawak ketika membuat tuntutan bungkusan yang didapati berisi 358 paket lutsinar disyaki berisi dadah jenis methamphetamine.


“Hasil pemeriksaan rapi yang dilakukan ke atas bungkusan berkenaan telah membawa kepada penemuan sejumlah 358 paket lutsinar yang mengandungi serbuk kristal dipercayai dadah jenis methamphetamine.

“Barangan tersebut juga dipercayai adalah untuk pasaran sekitar bandaraya Kuching dan Samarahan,” katanya dalam satu sidang media, di sini hari ini.

Jelas beliau, berat kasar kesemua serbuk kristal tersebut adalah lebih kurang 1,115 gram dan dianggarkan bernilai RM47,500.

“Semakan awal mendapati bungkusan tersebut telah dihantar dari Miri menggunakan perkhidmatan bas ekspres antara bandar.

“Suspek juga disyaki sudah beberapa kali membuat tuntutan bungkusan melalui perkhidmatan bas antara bandar sebelum ini,” katanya.

Turut dirampas daripada suspek ialah wang tunai berjumlah RM540 dan juga sebuah kenderaan jenis Toyota Yaris yang dianggarkan bernilai RM70,000.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, iaitu kesalahan memperedarkan dadah berbahaya.

“Jika disabit kesalahan, pesalah boleh dihukum gantung sampai mati di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama,” katanya.