JKEN Muda tekad memperkasa pendidikan penduduk Kg Kudei Dungun

JKEN Muda melakukan survei di Kampung Kudei Dungun.

KUCHING, 31 Jan: Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Sarawak memberi keutamaan untuk memperkasa Kampung Kudei Dungun di Satok melalui pendidikan kepada anak-anak penduduk kampung tersebut.

Pro-tem Jawatankuasa Eksekutif Negeri (JKEN) Muda dalam satu kenyataan hari ini berkata, ini bagi memastikan anak-anak mereka mempunyai kehidupan yang lebih baik apabila mereka sudah dewasa kelak.

Katanya, JKEN Muda telah melakukan survei di kampung tersebut pada semalam dan memperolehi pemahaman yang lebih mendalam berkenaan demografi dan permasalahan penduduk di Kampung Kudei Dungun.


“Antara masalahnya ialah kebanyakan anak-anak serta remaja di kampung tersebut yang bersekolah, sukar untuk mengikuti aktiviti pembelajaran sejak pandemik Covid-19 melanda dua tahun yang lepas kerana tiada akses kepada alatan eletronik serta internet.

“Oleh kerana itu, ramai juga di antara mereka ketinggalan dalam pembelajaran lebih lagi mereka yang di peringkat sekolah rendah.

“Selain daripada pendidikan, kami juga sedang menilai beberapa program lain yang mungkin sesuai diadakan untuk meningkatkan ekonomi penduduk,” katanya.

Dalam kenyataan yang sama, JKEN MUDA juga menggesa Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak memberikan perhatian yang sepatutnya kepada penduduk di Kampung Kudei Dungun.

Katanya, Kementerian Pendidikan Malaysia juga perlu memastikan pelajar di Kampung Kudei Dungun tidak terus ketinggalan dalam pembelajaran. — DayakDaily