Lelaki disyaki cuba seleweng minyak masak, ditangkap KPDNHEP Sri Aman

Pegawai KPNDHEP Sri Aman memeriksa kenderaan suspek yang membawa muatan minyak masak tersebut.

SRI AMAN, 29 Jan: Cubaan seorang lelaki disyaki menyeleweng menyeleweng minyak masak bersubsidi di Jalan Market di sini berjaya dipatahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), semalam.

Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Sri Aman, Al Redzamani Abdul Razak berkata, suspek berusia 28 tahun telah dilihat mencurigakan memandu sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Market.

Katanya, anggota KPDNHEP kemudian menghampiri suspek sebaik sahaja dia keluar daripada kenderaan tersebut.


Hasil pemeriksaan telah menemui 50 kotak minyak masak peket berjumlah 850 kilogram.

Siasatan awal mendapati suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen pemilikan barang kawalan.

Ekoran itu, kenderaan suspek disita dan minyak masak berkenaan dirampas.

Siasatan lanjut kes dijalankan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan pendakwaan akan dibuat di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Pindaan 2015) yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan. — DayakDaily