Warga emas maut, berlanggar dengan 4WD

Keadaan kedua-dua kenderaan yang terlibat kemalangan tersebut.

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


KUCHING, 29 Jan: Seorang lelaki warga emas maut akibat kecederaan parah dialaminya selepas terlibat kemalangan di Batu 9 Jalan Kuching-Serian semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata mangsa, 64 tahun, disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada jam 2.45 pagi.

Jelas beliau, mangsa yang menunggang motosikal dikatakan terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) sekitar jam 11.40 lewat malam Jumaat.


“Mangsa semasa kejadian bergerak lurus dari arah Batu 10 (Kota Padawan) menuju ke Batu 7 apabila berlanggar dengan sebuah 4WD yang datang dari arah Batu 7 menuju ke simpang Food Court Premier.

“Akibat kemalangan tersebut, mangsa yang dikejarkan ke HUS untuk mendapatkan rawatan telah disahkan meninggal dunia pada jam 2.45 pagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kata Alexson, siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Pemandu 4WD dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan. — DayakDaily