Lelaki bertarung nyawa lebih empat jam sebelum disahkan maut

Kelihatan kemalangan melibatkan sebuah van dan motosikal.
Advertisement

KAPIT, Julai 27: Seorang lelaki yang bertarung nyawa lebih empat jam selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya disahkan meninggal dunia di Hospital Kapit di sini hari ini.

Mangsa, Kiu Ching Hung, 66, disahkan meninggal dunia pada pukul 1.45 petang semasa sedang mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Kapit.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, SUPT Alexson Naga Chabu berkata, sebelum itu, mangsa yang menunggang motosikal telah merempuh belakang sebuah van di Jalan Airport Kapit kira-kira pukul 9.30 pagi.

Advertisement

Jelasnya, akibat rempuhan itu menyebabkan mangsa tercampak dari motosikalnya lalu mengalami kecederaan pada anggota badannya.

“Mangsa yang cedera kemudian dibawa ke Hospital Kapit untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

“Bagaimanapun, pemandu van iaitu seorang lelaki berusia 61 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alexson menambah, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal mangsa merempuh van sedang berhenti di sebelah kiri jalan untuk mengambil penumpang.

Katanya, pihak polis sudah merakam keterangan daripada pemandu van berkenaan untuk membantu siasatan.

“Kes itu masih lagi dalam siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. — DayakDaily

Advertisement