Lee: Cadangan klinik kesihatan di Permyjaya dibina dalam RMK-12

Lee (berdiri tiga dari kanan) bersama kakitangan KK Tudan and ahli Rotary Club Miri Oil Town mengadakan lawatan ringkas ke bangunan farmasi pandu laju KK Tudan.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 1 Feb: Keperluan pembinaan untuk sebuah lagi klinik kesihatan (KK) di Permyjaya amat diperlukan, memandangkan populasi penduduk di kawasan tersebut termasuk Tudan semakin bertambah.

Jelas Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin, yang juga Adun Senadin, kapasiti KK Tudan yang sedia ada tidak mencukupi untuk menampung keperluan perubatan populasi penduduk sekitar.

“KK Tudan seperti yang kita sedia maklum bukan hanya memberi perkhidmatan perubatan kepada penduduk di Tudan, malah, Permyjaya, Kuala Baram dan Lutong yang mempunyai populasi lebih 200,000 orang keseluruhannya,” jelasnya ketika ditemui hari ini selepas mengadakan lawatan ringkas meninjau kerja- kerja pembinaan farmasi pandu lalu di KK Tudan.

Farmasi pandu laju ini merupakan kemudahan kesihatan yang ke-5 di Sarawak dan kedua selepas pandu laju di Hospital Miri.

Kos pembinaan fasiliti kesihatan pandu laju ini adalah sebanyak RM80,000 dan ia merupakan kerjasama antara Sarawak United Peoples’ Party (SUPP) cawangan Senadin dengan Rotary Club Oil Town Miri bersama KK Tudan.

Pada lawatan itu juga, Lee turut menyerahkan sebuah cek bernilai RM20,000 dari SUPP cawangan Senadin kepada presiden Rotary Club Oil Town Miri bagi tujuan pembinaan kemudahan tersebut.

Kemudahan farmasi padu laju KK Tudan ini dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya pada awal Mac ini.

Jelasnya, skop liputan perkhidmatan kesihatan KK Tudan yang bukan sahaja merangkumi Tudan, malah kawasan lain seperti Permyjaya, Kuala Baram dan Lutong mencetuskan kesesakan dan menjadikannya klinik paling sibuk di Miri.

“Bayangkan, dalam sehari, KK Tudan merekodkan kedatangan pesakit lebih 700 orang dalam sehari,” ujarnya.

Susulan itu, Lee menjelaskan bahawa cadangan untuk membina sebuah klinik kesihatan di Permyjaya telah dihantar ke Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mengatasi masalah kesesakan di KK Tudan.

“Dan kita berharap, cadangan ini diterima dan dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12),” katanya.

Turut hadir pada lawatan itu adalah Dr Maurice Steve dari KK Tudan dan Presiden Rotary Club Oil Town Miri Sean Huang. — DayakDaily