Hanya 668 hadir calitan Covid-19 di Sibu Jaya

Filepix

KUCHING, 1 Feb: Hanya 668 individu di Sibu hadir bagi menjalani calitan pengesanan Covid-19 berskala besar yang diadakan di Pasar Tamu Sibu Jaya pada Ahad (31 Jan).

Memetik berita Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), jumlah tersebut jauh kurang dari sasaran 2,000 sampel yang ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan Persekitaran Bahagian Sibu.

“Pada mulanya sasaran mereka adalah seramai 2,000 sampel akan diperolehi daripada penduduk di Sibu Jaya.

“Bagaimanapun, jumlah tersebut tidak dapat dicapai dan ujian calitan tersebut telah selesai pada jam 2.00 petang Ahad,” kata Ukas.

Seramai 30 kakitangan Kementerian Kesihatan Malasyia (KKM) dari Sibu dibantu pasukan sokongan dari Sarikei dan Samarahan dalam menjalankan ujian calitan Covid-19 tersebut.


Sementara itu, Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak Dr Annuar Rapaee dalam entri terbaru meminta penduduk Sibu yang masih belum membuat ujian calitan Covid-19 segera berbuat demikian.

Beliau yang juga ADUN Nangka berkata, ini untuk membantu KKM mengesan kes-kes jangkitan Covid-19 di Sibu Jaya. — DayakDaily