Lebih RM1 juta pampasan dibayar kepada penduduk dalam projek jelapang padi

SRI AMAN, Nov 26: Projek Paddy Granary Infrastructure Works Bijat-Stumbin akan dilaksanakan bagi menambahbaik sistem pengairan dan saliran untuk projek jelapang padi yang akan dibangunkan di sini.

“Projek ini akan memberi manfaat kepada penduduk setempat kerana sistem pengairan dan saliran akan lebih teratur untuk kegunaan tapak semaian padi, menjadi jalan penghubung untuk petani ke tanah mereka dan meningkatkan taraf ekonomi penduduk,” kata Datuk Sri Rohani Abdul Karim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen P201 Batang Lupar, dalam satu kenyataan media hari ini.

“Majlis penyerahan cek pampasan pada hari ini membuktikan bahawa setiap pengambilan balik tanah yang dilakukan oleh Kerajaan, akan diberi pembayaran pampasan. Pembayaran pampasan tanah membuktikan bahawa kerajaan tidak merampas tanah seperti didakwa oleh pihak tertentu,” tambah Rohani lagi.

Tapak projek ini telah diluluskan oleh Majlis Perancangan Negeri pada Februari 2010 dan Notis Kanun Tanah Negeri di bawah Seksyen 48, Seksyen 6 dan Seksyen 5 (3) dan 4 telah diluluskan pada Jun 2015 bagi tujuan pengambilan balik tanah.

Sebanyak 23 buah rumah panjang terlibat termasuk Kampung Stumbin dan Kampung Melayu Tanjung Bijat terlibat dalam pengambilan balik tanah yang melibatkan Tanah Berhak Milik, Tanah Rezab Bumiputera dan Tanah Hak Adat Bumiputera.

Keseluruhan Projek Paddy Granary Infrastructure Works Bijat-Stumbin adalah sepanjang 52km melibatkan sebanyak 1,384 lot tanah. Sepanjang 34km proses pengambilan balik tanah telah selesai dijalankan dengan jumlah pampasan sebanyak RM731,680.44 dengan 645 lot tanah sejak 2015.

Selebihnya, 18km lagi akan dibayar pada pertengahan bulan Disember, dimana ia melibatkan 739 lot dengan jumlah pampasan sebanyak RM466,956.81.

Jumlah keseluruhan pampasan yang dibayar pada hari ini adalah berjumlah RM 201,850.24 yang melibatkan 208 orang penerima, dimana kawasan yang akan dibayar dikenali sebagai Jajaran A1, Jajaran V2, Jajaran V3, Jajaran C1, Jajaran R dan Jajaran V5.

Kerajaan membayar pampasan kepada pemilik tanah apabila pengambilan balik tanah dilakukan selaras dengan peruntukan sedia ada dalam Kanun Tanah Negeri (Bab 81) dan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan. — DayakDaily