Laluan ART Kuching-Kota Samarahan sekitar 2025, Abang Johari

Abang Johari menyerahkan kunci unit apartment P’Residence Batu Kawah kepada Pandelela.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 4 Jan: Pelaksanakan ‘Autonomous Rapid Transit’ (ART) bagi laluan dari Bandaraya Kuching ke Kota Samarahan akan direalisasikan sekitar 2025.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata pelaksanaan ART akan menggantikan Light Rapid Transit (LRT), setelah cadangan terdahulu (pembinaan LRT) mendapat bantahan dari banyak pihak.


“Terdahulu, kita janji untuk laksanakan LRT pada 2020, tetapi ia gagal dilakukan kerana menerima bantahan dari banyak pihak.

“Sesetengah pihak mengatakan tidak, sesetengah mengatakan ya dan ada juga yang mengatakan membazir duit. Inilah penyebab kepada kelewatan pelaksanaan cadangan ini.

“Seterusnya kita buat penyelidikan lagi dan berjaya menemui alternatif lain, iaitu sistem ART,” katanya pada satu sidang media di sini hari ini.

Terdahulu Abang Johari telah melancarkan Blok Apartment Pandelela P’Residence, Batu Kawah, selain menyerahkan kunci Unit Apartment kepada Pandelela Rinong yang merupakan pemenang pingat Sukan Olimpik acara terjun sebagai pengiktirafan kejayaan beliau di dalam sukan itu.

Tambah Abang Johari lagi, ART merupakan satu sistem pengangkutan awam yang lebih murah untuk dibina berbanding LRT dan telah digunakan di Korea, Jepun dan China.

Katanya, laluan Kuching ke Kota Samarahan menggunakan ART harus dilaksanakan kerana keadaan trafik di laluan tersebut semakin sesak pada masa kini.

“Penyelidikan berhubung peksanakan ART di laluan tersebut sedang dilakukan Kementerian Pengangkutan dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Sarawak (SEDC).

“Kita harap ia dapat dilaksanakan sekitar 2025 dan seiring dengan usaha menjadikan Sarawak negeri maju pada 2030,” katanya. — DayakDaily