Kursus Pengkhususan Pengetahuan Kandungan Pedagogi Guru Matematik Sekolah Rendah diadakan serentak di seluruh Sarawak

Dari kiri: Dr Abdul Rahman, Manyin Dr Les pada majlis Kursus Pengkhususan Pengetahuan Kandungan Pedagogi Guru Matematik Sekolah Rendah di Kuching.

KUCHING, April 11: ​Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi telah menganjurkan Kursus Pengkhususan Pengetahuan Kandungan Pedagogi Guru Matematik Sekolah Rendah serentak di seluruh Sarawak pada April 10-12.

Keutamaan kursus ini diberikan kepada Guru Matematik bukan opsyen yang mengajar mata pelajaran Matematik di sekolah rendah.

Objektif kursus ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan pedagogi guru Matematik bukan opsyen selari dengan pembelajaran abad ke-21.

Ia juga bagi meningkatkan kemahiran guru dalam pentaksiran bilik darjah dan peperiksaan pusat, manakala objektif seterusnya adalah memastikan 100 peratus murid mencapai tahap penguasaan 3 dan ke atas dalam Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) Matematik.

Kursus untuk Zon Utara di Miri melibatkan seramai 84 orang guru, Zon Tengah di Sibu seramai 98 orang guru dan Zon Selatan di Kuching seramai 120 orang peserta.

Kursus yang dianjurkan dengan kerjasama pihak Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak melibatkan seramai 40 orang tenaga pengajar (15 orang di Miri, 15 orang di Sibu dan 15 orang di Kuching).

Majlis di Kuching telah dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong. Turut hadir bersama adalah Ketua Sektor Pengurusan Akademik dan selaku wakil Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) Dr Les Met, dan juga Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dr Abdul Rahman Deen.

Dalam ucapannya, Manyin menegaskan perlunya Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) memberi penekanan lebih kepada keperluan sekolah rendah kerana pendidikan perlu bermula dari peringkat sekolah rendah.

Sebagai contoh, di Jepun, mereka memberi keutamaan kepada pelajar dari Darjah 1 hingga Tingkatan 3. Malah di Finland, cikgu yang mengajar di sekolah rendah perlu memiliki Ijazah Sarjana (Masters degree).

Beliau juga berharap agar isu sekolah daif di Sarawak dapat diselesaikan secara baik dan berharap pihak Kerajaan Pusat dapat meluluskan permohonan pembayaran kerajaan Sarawak secara “contra loan” berbanding dengan “advance payment” dalam usaha untuk menyelesaikan masalah sekolah yang terlalu daif di Sarawak.

Dr Les dalam ucapan aluan beliau berkata: “Kali ini kita mensasarkan seramai 300 guru Matematik bukan opsyen yang akan terlibat dengan kursus ini.”

Wakil Pengarah JPNS itu dalam ucapannya juga merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi dan kerajaan Sarawak yang selalu menganjurkan program untuk meningkatkan sistem pembelajaran di Sarawak.

Beliau percaya dengan kursus yang diberikan, Sarawak mampu mencapai purata 95 peratus pelajar menguasai mata pelajaran Matematik pada tahun 2021. — DayakDaily