Lelaki warga emas hilang semasa memancing belum ditemui

Pasukan bomba sedang melakukan operasi mencari mangsa.

Oleh Dean Adam

LUNDU, April 11: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas keluar memancing ikan di tepi Sungai Stunggang Hulu di sini Selasa lepas masih belum ditemui setakat hari ini.

Mangsa, Joseph Basir, 68, setakat pukul 4.35 petang ini dilaporkan masih belum dikesan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, radius pencarian operasi ialah sepanjang 2 kilometer (km) dari lokasi mangsa kali terakhir dilihat.

Katanya, bagaimanapun setakat ini operasi pencarian masih gagal menemui sebarang petunjuk positif.


“Operasi pencarian masih gagal menemui sebarang tanda atau jejak mangsa.

“Sehingga kini mangsa masih belum ditemui dan operasi ditangguh pada pukul 4.35 petang,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, operasi pencarian itu telah dilakukan oleh sepasukan lapan anggota bomba dari BBP Lundu.

Katanya, Unit K9 Bomba juga turut menyertai operasi berkenaan.

“Maklumat operasi ini akan dikemaskini dari masa ke semasa,” katanya. — DayakDaily