KPLB bantu 10 usahawan ikan tahai di Lawas dengan peruntukan RM100,000

File photo for illustration purposes

KUCHING, 2 Mac: Sebanyak 10 orang pengusaha penyalaian ikan tahai telah diluluskan untuk pemberian bantuan dan kelengkapan rumah penyalaian ikan tahai di Kampung Awat-Awat, Lawas.

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Datuk Henry Sum Agong, rumah penyalaian ikan tahai ini akan dilengkapi peralatan yang sesuai serta moden.

“Bagi tujuan itu, sebanyak RM100,000 akan diperuntukkan kepada 10 orang pengusaha penyalaian ikan dengan setiap pengusaha akan memperolehi RM10,000.


“Inisiatif ini dijangka akan memanfaatkan seramai 10 orang pengusaha baru dan sedia ada di samping dapat mempertingkatkan pendapatan dan menjana lebih banyak peluang pekerjaan di Kampung Awat-Awat, Lawas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Henry yang juga MP Lawas, industri pemprosesan produk maritim merupakan industri utama di Lawas dengan setiap pengusaha mampu menjana pendapatan sehingga RM3,000 sebulan.

Katanya, kebanyakan produk ini dieksport ke negara Brunei dan bandar-bandar di Sarawak.

Selain itu juga, jelas beliau, menerusi Program Peningkatan Pendapatan, kerajaan menerusi KPLB memperuntukkan sebanyak RM10,000 kepada 50 orang nelayan untuk pembelian enjin bot baru.

“Sejumlah RM10,000 juga disediakan untuk bantuan kepada 10 orang penjaja yang melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM600,000.

“Ia bagi membolehkan golongan ini menjana pendapatan dengan mencari hasil laut dan meluaskan perniagaan bagi tujuan menyara kehidupan,” ujar beliau.

Sementara itu, kerajaan, katanya, akan memastikan setiap inisiatif ini dipantau dan diberikan kepada golongan yang memerlukan memandangkan masyarakat di luar bandar antara golongan yang turut terjejas kesan pandemik Covid-19.

Ujar beliau, peluang untuk meningkatkan pendapatan masyarakat di luar bandar diberikan keutamaan bagi memastikan mereka menikmati pendapatan yang mampu untuk menyara kehidupan di samping membuka lebih banyak peluang pekerjaan di kawasan luar bandar. — DayakDaily