KPDNHEP S’wk pantau bekalan minyak masak di seluruh negeri

Pegawai KPDNHEP Sarawak membuat pemantauan dan pemeriksaan bekalan minyak masak di salah sebuah gudang pengedar di Kuching

KUCHING, 19 Jan: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP) Sarawak mengambil inisiatif dan tindakan proaktif dengan membuat pemantauan dan pemeriksaan ke atas kedudukan bekalan minyak masak di seluruh negeri.

Pemantauan dan pemeriksaan secara berterusan itu meliputi seluruh rantaian pengedaran iaitu pengilang, pemborong dan peruncit.

“Pada tahun 2016, kerajaan melalui KPDNHEP hanya memberikan subsidi kepada minyak masak dalam bungkusan polibeg 1 kilogram sahaja sehingga ke hari ini.


“Tujuan pihak Kerajaan masih mengekalkan pemberian subsidi bagi minyak masak dalam polibeg 1 kilogram adalah untuk memastikan rakyat boleh mendapatkan bekalan minyak masak untuk kegunaan isi rumah dengan harga RM2.50 sekilogram,” kata KPDNHEP Sarawak menerusi kenyataan semalam.

Pada masa ini kata KPDNHEP, terdapat sebanyak 13 syarikat pembungkus minyak masak di seluruh negeri yang meliputi kawasan Kuching, Bintulu dan Miri.

Ini meliputi jumlah pengedaran sebanyak 3,865 metrik tan minyak masak bersubsidi setiap bulan untuk diedarkan di seluruh negeri termasuk di kawasan luar bandar.

Menurut kenyataan itu lagi, KPDNHEP Sarawak komited dalam memastikan keberadaan bekalan minyak masak bersubsidi di pasaran.

“Ini dilakukan menerusi pemantauan ke atas syarikat pembungkus minyak masak serta menjalankan pemeriksaan harian di peringkat pemborong dan peruncit,’katanya.

Dalam pada itu, KPDNHEP berkata, mana-mana peniaga yang didapati cuba mengambil kesempatan dan menaikkan harga minyak masak tanpa mematuhi perundangan boleh di ambil tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011. – DayakDaily