KPDNHEP Swak: Bekalan keperluan asas mencukupi, elak beli berlebihan

Stanley Tan (file photo).

KUCHING, 11 Jan: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sarawak memaklumkan bahawa bekalan keperluan asas di Sarawak adalah mencukupi di semua peringkat.

Pengarahnya Datuk Stanley Tan berkata, semua premis perniagaan di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit masih beroperasi seperti biasa.

“KPDNHEP  membuat pemantauan ke atas 12 barangan keperluan termasuk gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, ayam, sayur-sayuran, telur, bawang, cecair sanitasi tangan dan pelitup muka.


“Ini membabitkan 271 Peruncit Terpilih Daerah(DDR) dan 84 Pemborong Terpilih Daerah (DDW).

“Situasi pembelian panik ini tidak berlaku kerana hasil pemantauan semua premis perniagaan di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit mendapati bekalan barangan adalah mencukupi,” kata Stanley menerusi satu kenyataan hari ini.

Pegawai-pegawai KPDNHEP Sarawak melakukan pemeriksaan barangan keperluan beras di sebuah premis di Kuching.

Untuk rekod statistik bagi 1 Januari sehingga 10 Januari, 2021 katanya, KPDNHEP Negeri Sarawak telah melaksanakan pemeriksaan premis sebanyak 1,149 premis perniagaan.

Katanya, ini membabitkan pelbagai peringkat seperti ladang, pengilang, pengimport, pengeluar, pemborong dan peruncit meliputi kawasan bandar dan luar bandar.

“Sepanjang tempoh ini, KPDNHEP Negeri Sarawak telah menghasilkan keseluruhan kes sebanyak 9 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM656.60 dan jumlah kompaun sebanyak RM600.00,” katanya.

Ujar Stanley lagi, kesemua anggota Penguat Kuasa KPDNHEP di seluruh negeri Sarawak akan terus giat melakukan pemantauan setiap hari bagi memastikan bekalan barangan keperluan terus terjamin buat semua pengguna.

Beliau menasihati orang ramai agar membeli barangan mengikut keperluan sahaja dan tidak membeli barangan secara berlebihan.

Para pengguna juga dinasihatkan agar terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan terutamanya ketika berada di luar untuk mendapatkan barangan keperluan harian. — DayakDaily