Malaysia terima vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech penghujung Februari 2021

Dr Adham menandatangani perjanjian perolehan vaksin dengan Pfizer (Malaysia) secara maya di Pejabat Menteri Kesihatan, KKM di Putrajaya.

KUCHING, 11 Jan: Malaysia akan menerima perolehan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech BNT1262b sebanyak 12,799,800 dos daripada Pfizer (Malaysia) yang akan dibekalkan mulai penghujung bulan Februari 2021.

Ini dengan termeterainya perjanjian diantara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd hari ini.

Majlis menandatangani perjanjian berkenaan telah disempurnakan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba bagi pihak kerajaan Malaysia.

Manakala pihak Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd pula diwakili oleh Pengurus (Malaysia dan Brunei) Luksanawan Thangpaibool dimana majlis diadakan secara maya.

KKM menerusi satu kenyataan hari ini berkata, jumlah tersebut meliputi 20 peratus populasi penduduk Malaysia dengan dua dos seorang.

“Perjanjian yang dimeterai pada hari ini adalah untuk fasa pertama dengan penghantaran vaksin ke seluruh Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, KKM memaklumkan bahawa kerajaan juga bersetuju untuk membuat perolehan bekalan tambahan 12.2 juta dos.

Ini akan menjadikan jumlah keseluruhan vaksin Pfizer-BioNTech BNT1262b sebanyak 25 juta dos.

“Jumlah ini meliputi 39 peratus populasi penduduk Malaysia dan akan diterima sepanjang tahun 2021,” kata KKM. — DayakDaily