Kastam sita minuman keras bernilai RM537,605 di Kuching

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) logo

KUCHING, 11 Jan: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyita pelbagai jenis minuman keras disyaki tidak lulus kastam bernilai sekitar RM537,605 termasuk cukai pada Jumaat lepas.

Pengarahnya Herman Shah Abdullah berkata anggotanya dari Cawangan Risikan dan Unit Siasatan Dalaman berjaya mengesan sebuah lori yang mencurigakan di Jalan Kuching-Serian sekitar jam 12.40 tengah hari.

Beliau memberitahu, anggotanya kemudian terus mengekori lori tersebut sehingga ke Jalan Kuching-Bau.


Melalui pemantauan yang dijalankan, pasukan berjaya mengesan sebuah lori yang mencurigakan dan seterusnya lori tersebut diekori sehingga ianya berhenti di sebuah kawasan di tepi Jalan Kuching-Bau.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas lori tersebut telah menjumpai minuman keras disyaki tidak lulus kastam dianggarkan sebanyak 17,574.48 liter minuman keras telah disita melibatkan anggaran nilai serta duti/cukai barang kes berjumlah RM537,605,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Lori tersebut ditahan dan maklumat disalurkan kepada anggota operasi penguatkusaan JKDM Kuching yang seterusnya membawa lori tersebut ke Pejabat Penguatkuasaan Kuching untuk pemeriksaan lanjut.

“Pemandu lori turut ditahan untuk membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Herman turut menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-80088-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

“Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya. — DayakDaily