KPDNHEP Sarawak rampas 14 kotak gula-gula ‘berasap’

Pegawai KPDNHEP melakukan pemeriksaan di premis yang disyaki menjual gula-gula 'berasap'.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Julai 24: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak telah melakukan pemeriksaan ke atas premis-premis yang disyaki menjual gula-gula ‘berasap’.

Produk makanan ringan itu kini popular di kalangan kanak-kanak kerana ia akan mengeluarkan asap ketika ditiup.

Timbalan pengarah, yang juga ketua pegawai penguatkuasa KPDNHEP Sarawak, Mohd Hanizam Kechik, berkata pihaknya telah bertindak membuat pemeriksaan ke atas premis-premis perniagaan berkaitan dengan penjualan gula-gula berasap di seluruh negeri.

Baru-baru ini, satu video yang tular di laman sosial telah menunjukkan kanak-kanak menghisap gula-gula yang mengeluarkan asap seolah-olah sedang menghisap rokok ataupun vape.

Katanya, gejala itu telah menimbulkan kebimbangan kerana dikhuatiri boleh mendorong kanak-kanak terdedah kepada tabiat merokok di awal usia muda dan juga boleh menjejaskan kesihatan.

Gula-gula ‘berasap’ jenama “Chost Somke” yang dirampas.

“Sehingga kini sebanyak 60 buah premis telah diperiksa di seluruh Sarawak.

“Dalam pemeriksaan yang dijalankan, satu rampasan telah dibuat di sebuah premis di Jalan Datuk Tawi Sli yang melibatkan rampasan yang disyaki sebagai gula-gula berasap jenama ‘Chost Somke’ sebanyak 14 kotak atau 24 paket, dengan nilai rampasan RM110,” katanya di sini, hari ini.

Mohd Hanizam menambah, rampasan tersebut dibuat untuk siasatan lanjut sama ada berlakunya kesalahan di bawah Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011 ataupun di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 di bawah Akta yang sama ataupun di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 di bawah Perintah Kawalan Harga (Pelabelan Oleh Pekilang, Pengimport, Pengeluar atau Penjual Borong) 1980.

“Mana-mana orang yang disabitkan kesalahan boleh didenda di bawah Akta Perihal Dagangan dan Subsidiarinya. Bagi pertubuhan, denda tidak melebihi RM250,000, dan bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM500,000 akan dikenakan,” katanya. — DayakDaily