KPDNHEP Sarawak keluar kompaun RM4,050 atas peniaga sepanjang pelaksanaan SHMMP HRP 2021

Vegetables — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, 6 Mei: Kompaun sebanyak RM4,050 dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak sepanjang sepanjang perlaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP HRP) 2021 yang bermula sejak 21 April lalu.

Menerusi satu kenyataan hari ini, KPDNHEP Sarawak mendedahkan kompaun berkenaan melibatkan 33 kes dengan nilai rampasan keseluruhan RM2,975.80 hasil pemeriksaan yang dilakukan terhadap 3,108 premis di seluruh Negeri.

“Daripada 33 kes tersebut, tujuh kes diambil tindakan kerana menjual barangan melebihi harga maksimum barang harga terkawal di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Sebanyak 18 kes atas kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwana merah jambu bagi barangan harga terkawal sementara lapan kes lagi kerana gagal mempamerkan tanda harga bagi barangan yang dijual di bawah akta sama,” katanya.

Sejak perlaksanaan SHMMP HRP 2012, sejumlah 12 jenis barang disenaraikan dibawah skim tersebut bagi fasa pertama pelaksnaannya yang bermula dari 21 April hingga 5 Mei.

Jumlah itu bagaimanapun ditambah dengan 20 jenis barangan keperluan lain susulan terdapat peningkatan pemintaan terhadap kesemua barangan terbabit di pasaran.

“Sepanjang tempoh itu juga, seramai 176 orang Pegawai Penguatkuasa dan 101 orang Pegawai Pemantau Harga KPDNHEP Negeri Sarawak akan berada di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasaraya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan,” katanya.

Tambah kenyataan itu, pemeriksaan yang dilaksanakan di berberapa pasaraya iaitu di pasaraya H&L Xtra, Eco Mall, di Petra Jaya, Kuching mendapati kesemua barang kawalan dijual tidak melebihi harga kawalan selain terdapat beberapa barang kawalan dijual di bawah harga maksimum.

Katanya, konsep tersebut sesuai dengan hasrat kerajaan menetapkan harga maksimum bagi membantu mengurang beban pengguna yang ingin menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri.

“Peniaga digalakkan menjual barangan pada harga yang lebih rendah daripada harga maksimum sekiranya harga yang diperolehi adalah lebih rendah.

“Walau bagaimanapun, KPDNHEP Negeri Sarawak sentiasa mengambil usaha dan langkah untuk menstabilkan harga barangan keperluan terutamanya semasa rakyat menyambut musim perayaan,” katanya.