KPDNHEP: Pinjaman mudah 2-3 tahun kepada pihak industri antara cadangan kawal kenaikan harga ayam

Dato Sri Alexander Nanta Linggi

KUCHING, 28 Sept: Kemudahan pinjaman mudah bagi tempoh dua hingga tiga tahun kepada pihak industri antara cadangan kerajaan bagi menangani kenaikan harga ayam.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, ia bagi membantu industri mengekalkan jumlah pengeluaran ayam yang mencukupi.

Katanya, ia juga bertujuan menangani isu peningkatan kos pengeluaran ayam berikutan kenaikan harga komponen makanan ayam yang diimport tanpa menggangu harga ayam di pasaran.


“Kementerian (KPDNHEP) sentiasa mencari kaedah penyelesaian terbaik untuk membantu penternak-penternak berdasarkan masalah yang mereka hadapi ini.

“Hasil dari libat urus bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi), juga keterlibatan bersama pihak industri seperti Federation of Livestock Farmers’ Associations of Malaysia pada 17 September 2021 yang lalu, kementerian telah berbincang beberapa kaedah terbaik berhubung perkara ini.

“Kementerian juga menyambut baik pandangan yang diberikan dan akan meneliti perkara-perkara yang dibincangkan. Antaranya kemudahan pinjaman mudah bagi tempoh dua hingga tiga tahun seperti mana hasrat yang dikemukakan oleh pihak industri,” katanya.

Nanta berkata demikian pada sesi pertanyaan berhubung isu kenaikan harga ayam di sidang Parlimen di Kuala Lumpur hari ini.

Tambah beliau, kementeriannya tidak memandang ringan isu ini dan sentiasa memastikan harga barangan keperluan terutamanya bahan makanan sentiasa berada di pasaran pada harga yang munasabah.

Katanya, harga ayam dipantau pada setiap masa bagi memastikan ia tidak mengalami lonjakan dan peniaga tidak cuba menaikkan harga bagi mengaut keuntungan berlebihan.

“Pemantauan ke atas 20 syarikat pengeluar ayam pedaging utama yang merangkumi tiga syarikat ‘integrator’ dan 17 syarikat ‘non-integrator’.

“Pemantauan ini dilakukan bagi mengesan lebih awal risiko-risiko gangguan bekalan ayam pedaging di peringkat pengeluaran supaya tindakan sewajarnya dapat diambil bagi memastikan bekalan ayam di pasaran sentiasa stabil.

“Unjuran pengeluaran ayam dilakukan setiap bulan bagi membolehkan kementerian merangka pelan tindakan sewajarnya sekiranya dijangkakan akan berlaku kekurangan bekalan ayam di pasaran,” ujar Nanta. — DayakDaily