KPDNHEP kesan 2 kes perihal dagangan palsu berkaitan ‘Milo’

Pegawai KPDNHEP melakukan pemeriksaan terhadap makanan yang ditawarkan di salah sebuah premis makanan.

KUCHING, 2 Nov: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menghasilkan dua kes di bawah seksyen 5(1)(b) Akta Perihal Dagangan 2011, perihal dagangan palsu berkaitan “Milo”.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, kes dihasilkan pada pemeriksaan di premis-premis restoran diseluruh negara yang dilakukan bermula 7 sehingga 27 Oktober lepas.

“Sepanjang tempoh pemeriksaan tersebut, KPDNHEP telah menjalankan pemeriksaan ke atas 881 premis kedai makan dan restoran di seluruh negara.


“Pemeriksaan telah menghasilkan dua kes di bawah seksyen 5(1)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 kerana menggunakan perihal dagangan palsu iaitu mengguna perihal ‘Milo’,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Iskandar, kebelakangan ini agensi tersebut telah menerima aduan daripada pengguna berkaitan penyataan palsu pada menu makanan dan minuman yang diperihalkan oleh restoran seperti minuman jenama “Milo” atau “Nescafe” seperti mana yang tertera pada menu.

Jelas beliau, ianya kerana minuman yang diberikan oleh peniaga adalah dari jenama lain dengan kualiti yang berlainan daripada yang dikehendaki oleh pengguna.

“Perlakuan ini jelas menunjukkan penggunaan perihal dagangan palsu pada barangan atau makanan yang ditawarkan oleh peniaga atau restoran.

“Perihal dagangan palsu dan mengelirukan yang diberikan kepada pengguna adalah merupakan satu kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

“KPDNHEP ingin mengingatkan kepada mana-mana premis restoran atau kedai makan supaya mematuhi arahan ini,” ujar beliau lagi.

Orang ramai digalakkan untuk menyalurkan maklumat kepada KPDNHEP dengan melaporkan sebarang aduan berkaitan perkara ini melalui portal eaduan.kpdnhep.gov.my atau di talian 1-800-886-800 atau Whatsapp ke 019-2794317 atau di talian 03- 8882 6088 di Enforcement Command Centre (ECC), atau hadir sendiri ke mana-mana pejabat KPDNHEP yang berhampiran supaya tindakan sewajarnya boleh diambil. — DayakDaily