KPDNHEP hasilkan 4,560 kes, rampas barangan bernilai RM60,591,736 sepanjang PKP

Pegawai KPDNHEP menunjukkan topeng muka yang di bawah senarai barang harga kawalan.(gambar fail)

PUTRAJAYA, 17 Okt: Sebanyak 4,560 kes di bawah pelbagai akta berjaya dihasilkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melibatkan rampasan bernilai RM60,591,736 sepanjang tempoh perlaksaaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lepas.

Ketua Ketua Seksyen Siasatan dan Serbuan Shamsul Nizam Khalil berkata, sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 440,549 premis perniagaan telah diperiksa merangkumi pelbagai jenis perniagaan seperti kedai runcit, pasaraya, kedai makan, kedai kek dan roti, kedai pakaian, bengkel kenderaan serta lain-lain premis peniagaan.

Katanya, sepanjang tempoh itu juga sebanyak 3,377 kes dikenakan kompaun oleh KPDNHEP dengan nilai kutipan mencecah RM1,495,752.


“Penghasilan kes tertinggi adalah di bawah Akta Timbang dan Sukat dengan 2,431 kes, diikuti dengan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 sebanyak 1,289 kes serta Akta Kawalan Bekalan 1961 sebanyak 367 kes,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Kata Samsul Nizam, 12 barang keperluan harian pengguna telah dipantau secara harian oleh Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP di seluruh negara sejak PKP.

Barangan tersebut katanya adalah gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, susu tepung, ayam, sayur-sayuran, telur, bawang, pensanitasi tangan dan pelitup muka.

“Pemantauan 12 barang keperluan asas ini meliputi 2,711 peruncit terpilih 2 daerah (DDR), 1,039 Pemborong Terpilih Daerah (DDW), 198 Pengilang Terpilih Daerah (DDM) yang merangkumi 222 kawasan Parlimen dan 587 Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.

Shamsul Nizam berkata sebagai persediaan menghadapi musim banjir pemantauan secara harian dilaksanakan di setiap negeri yang bakal terjejas oleh bencana itu semasa musim tengkujuh melanda.

“Pemantauan secara harian yang kita laksanakan ini bagi memastikan keberadaan bekalan makanan dan barang keperluan asas sentiasa mencukupi dan diperolehi pada harga yang munasabah,” katanya.

Tambah beliau, KPDNHEP sehingga kini mendapati tiada situasi pembelian panik dilakukan oleh orang ramai walaupun kebanyakan tempat di kenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)

Ujarnya, trend pembelian yang dilakukan orang ramai adalah pembelian normal ke atas premis-premis runcit yang diperiksa oleh pasukan pegawai penguat kuasa KPDNHEP.

Manakala bekalan barangan di peringkat pemborong dan pengilang, mencukupi, stabil dan berupaya menampung permintaan semasa.

Justeru beliau menasihati pengguna agar tidak bimbang dengan bekalan makanan dan keperluan harian kerana ianya dijamin mencukupi berdasarkan pemantauan yang telah dilakukan pada setiap hari.

Beliau turut mengingat peniaga untuk memastikan barangan jualan mereka sentiasa diletakkan tanda harga yang jelas bagi memudahkan pengguna mendapatkan maklumat dan membuat perbandingan  harga sebelum melakukan sesuatu pembelian.

“Tindakan penguatkuasaan yang tegas akan diambil jika didapati mana-mana peniaga sama ada di peringkat pengeluar, pengilang, pemborong atau peruncit yang cuba mengambil kesempatan berhubung bekalan barang keperluan asas atau melakukan aktiviti mencatut semasa menghadapi situasi pandemik Covid-19 ini,” katanya. -DayakDaily