Rokok dan minuman keras bernilai RM98.7 juta dirampas

Mancha (kanan) memeriksa tin minuman keras yang dilaporkan telah tamat tempoh.

KUCHING, 7 Feb: Sebanyak 2,854 kotak rokok dan minuman keras pelbagai jenama disyaki diseludup masuk dianggarkan bernilai RM98.7 juta termasuk cukai dirampas polis semalam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata rampasan dibuat oleh cawangan Wildlife Crime Bureau (WCB), Pasukan Siasatan Khas, Jabatan KDNKA Bukit Aman, Pasukan Polis Marin Wilayah 5, Pasukan Gerakan Am Briged Sarawak serta IPK Sarawak yang telah melancarkan Op Taring Alpha yang menyasarkan aktiviti penyeludupan (kontraban).

“Dalam operasi tersebut, 8 lelaki berusia lingkungan 22 hingga 67 tahun ditangkap dalam tiga serbuan di premis berasingan di Jalan Setia Raja, Jalan Padungan dan Jalan Penrissen Batu 7.


“Sebanyak 2,854 kotak rokok dan minuman keras pelbagai jenama yanb kebanyakannya telah tamat tempoh dirampas dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM98.7 juta termasuk cukai,” katanya dalam sidang media di IPK Sarawak hari ini.

Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan kesemua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan.

Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara maksimum 6 bulan sehingga 5 tahun dan boleh didenda sebanyak RM100,000. — DayakDaily