KPDNHEP: Farmasi komuniti perlu mohon kebenaran beroperasi melalui CIMS 3.0

Medicine and healthcare. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, 11 Jun: Farmasi komuniti di Sarawak perlu mengemukakan permohonan kebenaran beroperasi melalui CIMS 3.0 bagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam satu kenyataan hari ini memberitahu bahawa farmasi komuniti adalah antara 10 perkhidmatan perlu yang disenaraikan di bawah sektor perdagangan pengedaran.

“Merujuk kepada laporan akhbar The Star bertarikh 8 Jun 2021, Kementerian mengambil maklum bahawa semua ahli farmasi komuniti yang berdaftar di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu mengemukakan permohonan kebenaran beroperasi melalui sistem CIMS 3.0 di bawah Sektor Farmaseutikal, Kluster Peruncitan/Pengedaran/Pemborongan mulai 1 Jun 2021.

“Sehubungan itu, Kementerian menyeru supaya farmasi komuniti yang belum mengemukakan permohonan kebenaran beroperasi bagi tempoh PKP dikehendaki berbuat demikian dengan kadar segara,” katanya.

Permohonan surat kebenaran operasi boleh dibuat melalui laman web  https://notification.miti.gov.my.

CIMS 3.0 atau Sistem Pengurusan Pintar Covid-19 adalah sebuah sistem pengisytiharan syarikat yang membolehkan pendaftaran secara sukarela oleh majikan.

Melalui sistem ini, pengguna boleh memohon surat kebenaran untuk beroperasi berdasarkan sektor-sektor yang dibenarkan oleh kerajaan dalam tempoh PKP.

KPDNHEP turut memaklumkan bahawa sehingga April 2021, terdapat sejumlah 3,274 premis farmasi komuniti yang berlesen di bawah Akta Racun 1952 yang dikuatkuasakan oleh KKM.

“Berdasarkan semakan setakat 10 Jun 2021, sebanyak 2,902 (89 peratus) permohonan bawah Sektor Farmaseutikal, Kluster Peruncitan/Pengedaran/Pemborongan telah diterima melalui sistem CIMS 3.0 dan 2,412 (74 peratus) permohonan telah diluluskan,” katanya lagi. — DayakDaily