Dr Annuar serah 320 pek bantuan makanan kepada kem tentera Sibu

Dr Annuar (tengah) menunjukkan jari 'bagus' bersama yang lain ketika menghadiri majlis ringkas penyerahan pek sumbangan bekalan makanan kepada pihak tentera di Wisma Perwira Batalion Ketiga Rejimen Renjer Diraja (3 RRD) pada 9 Jun, 2021.

SIBU, 11 Jun: Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam Sarawak Dr Annuar Rapaee telah menyerahkan 320 pek sumbangan bekalan makanan di bawah Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS 6.0) kepada semua kem tentera di sini.

Penyerahan sumbangan bekalan makanan terbabit telah dibuat dalam satu majlis ringkas bertempat di Wisma Perwira Batalion Ketiga Rejimen Renjer Diraja (3 RRD) pada Rabu lalu (9 Jun).

Dr Annuar (tengah) menyerahkan pek sumbangan bekalan makanan kepada salah seorang penerima.

Menurut kenyataan Briged Kesembilan Infantri Malaysia (9 Briged) semalam, sumbangan ini diserahkan oleh Dr Annuar kepada semua Pegawai Memerintah antaranya Batalion Ketiga Rejimen Renjer Diraja, Batalion Keenam Rejimen Sempadan, Batalion Kesembilan Rejimen Sempadan dan Briged ke-31 Infantri Malaysia.

Program ini dilaksanakan bertujuan untuk meringankan beban anggota dan staf awam yang terjejas sepanjang pandemik Covid-19.

Turut hadir adalah Panglima 9 Briged, Brigedier Jeneral Shamshor Jaafar dan Panglima 31 Briged, Brigedier Jeneral Sarman Bahrom. — DayakDaily