KPDNHEP berjaya membanteras penjualan sarung tangan getah tiruan

Perbezaan sarung tangan getah tiruan (kiri) dan yang tulen.

PUTRAJAYA, 14 Ogos: Satu operasi untuk membanteras penjualan barang-barang tiruan telah dijalankan di sebuah premis perniagaan di Sri Hartamas, Kuala Lumpur yang melibatkan seramai lima orang pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya pada Rabu lepas.

Operasi ini dijalankan hasil daripada maklumat yang diterima, mengenai sarung tangan getah tiruan jenama Gloveon Paloma daripada wakil pemilik cap dagang berdaftar Cisco (M) Sdn Bhd yang mewakili Hartalega NGC Sdn Bhd.

Modus operandi peniaga barang tiruan ini adalah membeli sarung tangan getah yang rosak dan terpakai dan setelah dibersihkan sarung tangan tadi kemudiannya dibungkus semula menggunakan jenama Gloveon Paloma yang berdaftar dengan cap dagang.


“Perbandingan sarung tangan getah tiruan dengan sarung tangan getah yang asli adalah dari segi kualiti, ketebalan, warna, pembungkusan dan pencetakan pada kotak pembungkusan.

“Pemeriksaan yang telah dijalankan telah menemukan sebanyak 840 kotak berisi sarung getah tangan tiruan jenama Gloveon Paloma dan 8,280 unit kotak kosong jenama Gloveon Paloma. Hasil daripada verifikasi awal yang dijalankan oleh wakil pemilik cap dagang berdaftar mendapati kotak sarung tangan getah tersebut disyaki tiruan.

“Kesemua barang-barang tersebut telah dirampas untuk siasatan lanjut dan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM42,320.00,” kata Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman dalam satu kenyataan hari ini.

Seorang pegawai KPDNHEP membuat pemeriksaan keatas sarung tangan getah tiruan di sebuah premis perniagaan di Sri Hartamas, Kuala Lumpur pada Rabu lepas.

Beliau memberi amaran kes tersebut disiasat dibawah perenggan 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penalti seperti berikut: jika orang itu ialah suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar itu, dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM30,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar

“Atau jika orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM20,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” jalas Iskandar.

Justeru, beliau mengingatkan para peniaga agar lebih bertanggungjawab dan menghormati harta intelek orang lain dan memberi amaran kepada mana-mana individu mahupun syarikat supaya tidak melanggar undang-undang, terutama membabitkan penjualan dan pengedaran barangan tiruan bagi mengelak dikenakan hukuman berat mengikut undang-undang.

Orang ramai disarankan agar menyalurkan maklumat kepada Kementerian ini dengan melaporkan kegiatan ini melalui hotline 1-800-886- 800 atau 03- 8882 6088 di Enforcement Command Centre (ECC) atau hadir sendiri ke mana-mana pejabat KPDNHEP yang berhampiran supaya tindakan sewajarnya boleh diambil. —DayakDaily.